• Terkini!

    4 January 2019

    'Upin, Ipin' tak kisah berpisah kelas - Berita Harian



    PASANGAN kembar seiras Afiq Harith (kiri) dan Afiq Hafiz bersama bapa mereka, Abdul Rahman Tawasili yang datang melawat pada waktu rehat pada permulaan sesi persekolahan baru 2019 di Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

    'Upin, Ipin' tak kisah berpisah kelas



    LUMUT: “Kita tak kisah, kita tak takut pun tak sama kelas sebab kita dapat ramai kawan. Tapi ibu pesan rehat sama-sama, siapa yang keluar dulu kena tunggu supaya kami boleh rehat sama dekat kantin,” kata Afiq Hafiz Abdul Rahman, 7.
    Afiq Hafiz dan kembarnya Afiq Harith memulakan sesi persekolahan baharu tahun satu di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini.
    Pasangan kembar seiras itu tidak ditempatkan di kelas sama, namun mereka tidak menunjukkan riak takut, malah mengakui teruja memulakan sesi persekolahan baharu kerana sudah mempunyai kawan di kelas masing-masing.
    Menurut Afiq Hafiz atau nama panggilannya Abang Hafiz, dia dan adik kembarnya bangun seawal jam 6 pagi untuk bersiap ke sekolah.
    “Abang Hafiz belajar di kelas 1 Mutiara dan adik Harith pula di 1 Jed tapi kita tak kisah sebab kelas kami berhadapan dan waktu rehat nanti kita pergi kantin sama-sama macam ibu pesan... balik sekolah pun sama,” katanya yang mengakui bersama kembarnya sekelas ketika berada di tadika.
    Menurutnya, ketika di tadika ada rakan yang keliru dan tersalah memanggil nama mereka dan berharap kali ini kejadian sama tidak berulang.
    “Abang Hafiz mata sepet sikit, adik Harith mata bulat tapi adik tinggi sikit.... itu beza kami tapi kita sama-sama minat Upin Ipin... Abang Hafiz minat Upin, adik Harith suka Ipin,” katanya yang meminati kerjaya bomba.
    Bapa mereka, Abdul Rahman Tawasili, 40, berkata anak kembarnya itu teruja memasuki alam persekolahan rendah dan mereka sememangnya sangat rapat dan saling bergantung antara satu sama lain.
    “Saya harap boleh diletakkan dalam satu kelas selepas ini kerana mereka saling mencari, tapi jika tidak dapat pun tidak mengapa, mungkin mereka boleh belajar berdikari dan tadi pun mereka ke sekolah dengan bas tapi saya ikut dari belakang,” katanya.
    Selain murid tahun satu, murid prasekolah juga memulakan alam persekolahan dan bagi pasangan kembar Qhasif Aulia Md Rozaini dan Muhammad Ammar Harris masing-masing berusia enam tahun, juga terpaksa berpisah kelas.
    Qhasif Aulia berkata, dia gembira memulakan sesi persekolahan hari ini, namun berbeza dengan adik kembarnya, Muhammad Ammar Harris yang agak takut pada mulanya.
    “Pagi tadi Ammar takut nak masuk kelas dan dia suruh kakak buat kerja menulis dia tapi dah lama sikit dia dah ok. Ammar memang manja dengan kakak dan mama pun pesan suruh tengok-tengokkan Ammar.
    “Kakak tak kisah tak sama kelas dengan Ammar sebab kelas kami bersebelahan saja nanti rehat pun sama-sama juga,” katanya yang tinggal dalam pangkalan TLDM.
    Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Rohaizan Mohd Hanif berkata, seramai 227 murid tahun satu mendaftar di sekolah berkenaan sejak Rabu lalu dengan jumlah keseluruhan murid tahun ini seramai 1,229 orang untuk sesi 2019.
    “Seramai 227 murid tahun satu ditempatkan dalam lapan kelas dan untuk prasekolah kami mempunyai 50 murid dengan dua kelas dan dijangka akan ada penambahan murid selepas ini.
    “Untuk dua pasangan kembar ini mereka dipisahkan kelas dan kami memandang ini ke arah positif yang memberikan pendedahan, boleh ‘survive’ dan perkembangan pembelajaran yang lebih luas,” katanya yang memaklumkan 99 peratus murid adalah anak anggota tentera dan sekolah mempunyai dua sesi persekolahan.
    Sumber - https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/515365/upin-ipin-tak-kisah-berpisah-kelas

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments
    Item Reviewed: 'Upin, Ipin' tak kisah berpisah kelas - Berita Harian Rating: 5 Reviewed By: Yu. Suffi Yusof
    Scroll to Top